MEROKOK HARAM FATWA YANG TERUS DI LUPAKAN
Di tepi kotak rokok tertera ayat peringatan ``Amaran Kerajaan Malaysia Merokok Membahayakan Kesihatan.'' Bersempena dengan penegasan Perdana Menteri tentang bahaya merokok ini adalah wajar juga para perokok diberi peringatan yang sama tentang pandangan Islam terhadap tabiat merokok.
Persoalan hukum merokok dalam Islam sering menjadi polemik para ulama antara hukum makruh dan haram. Namun demikian, hukum sunat dan harus terkeluar daripada perbincangan hukum mengenainya. Bagi perokok, mereka sebenarnya mengambil sikap eskapisme dengan mengatakannya sebagai satu perkara yang makruh kerana perbuatan yang makruh hanya dibenci oleh Allah s.w.t., tidak sampai kepada hukum haram atau berdosa di sisi Allah s.w.t. Namun demikian, perlu diingatkan bahawa hukum makruh dan haram itu adalah aksiologi negatif dalam perundangan Islam. Adakah wajar kita mengambil nilai negatif dalam menghalalkan rokok kepada diri kita?
Lebih malang, ada juga yang mengambil teori sekular egoisme untuk mewajarkan diri mereka untuk merokok. Kata mereka, merokok memberi kepuasan dan ketenangan diri, lagi pun mereka tidak mengacau atau mengganggu orang lain. Ada juga muda mudi yang beranggapan menghulurkan rokok kepada sahabat taulan sebagai budi yang baik dan bersifat pemurah. Namun secara hakikatnya apa jua hujah yang diutarakan oleh mereka, ia merupakan sejumlah alasan yang direka-reka akibat ketidakmampuan mereka membebaskan diri daripada ketagihan merokok akibat bahana nikotin dalam rokok.
Rentetan daripada bahaya dan kemudaratan yang ditimbulkan oleh tabiat merokok ini, maka pada 23 Mac 1995, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 telah memutuskan bahawa tabiat merokok itu adalah haram menurut pandangan Islam. Fatwa ini disokong oleh beberapa pertubuhan termasuk Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM). Setelah tujuh tahun lebih fatwa ini diputuskan, didapati reaksi masyarakat Malaysia khususnya muda-mudi Islam seolah-olah tidak menghiraukan langsung fatwa tersebut. Semakin hari fatwa tersebut semakin dilupakan oleh masyarakat Islam sendiri.
No comments:
Post a Comment